Tuesday, May 20, 2014

Kampus induk UMK dipertingkat

 
Dr. Raduan Che Rose (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pelajar selepas majlis menyerahkan Laman Siswa di UMK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. 
 
KOTA BHARU 20 Mei - Kerajaan Pusat memperuntuk sebanyak RM226 juta untuk pembangunan kampus induk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2016.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Raduan Che Rose berkata, peruntukan itu adalah bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur UMK yang merangkumi bangunan canselori, dewan besar, pusat Islam, pusat pelajar dan perpustakaan.

“Buat masa ini UMK Bachok masih belum bersedia dari segi kemudahan untuk beroperasi sebagai kampus induk dan saya jangkakan melalui peruntukan yang diberikan ini, kampus berkenaan boleh berope­rasi sebagai kampus induk dalam tempoh dua tahun lagi.

“Bagi merealisasikan kampus UMK Bachok sebagai kampus induk, sebanyak dua fakulti baharu turut ditubuhkan iaitu Fakulti Pengajian Liberal serta Fakulti Senibina," katanya kepada pemberita di Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Raduan berkata, pihaknya turut menubuhkan fakulti baharu iaitu Fakulti Pelancongan dan Hospitaliti di Kampus Kota serta Fakulti Sains Bumi di Kampus Jeli.

“Di samping itu, pihak kami juga akan menambah baik kemudahan di UMK Jeli dengan mewujudkan perpustakaan dan pusat Islam, seiring dengan perkembangan kakitangan dan bilangan pelajar," katanya.
Sementara itu, Raduan berkata, bagi pengambilan pada September ini,UMK akan menerima 3,000 pelajar.
Tambah beliau, pihaknya juga akan meneruskan pengambilan pelajar antarabangsa dan menyasarkan 200 pelajar baharu dari luar negara bagi tahun ini.

Katanya, setakat ini, seramai 67 pelajar antarabangsa sedang mengikuti pengajian di UMK.
“Tujuan pengambilan pelajar antarabangsa adalah bagi menjadikan UMK sebagai sebuah universiti yang dinamik, berkepelbagaian dan bertaraf dunia," katanya.

SUMBER : UTUSAN

Rakyat Malaysia dinasihat tangguh lawatan ke Thai


Kemuncak protes antikerajaan Thailand 
Kumpulanpenunjuk perasaan berhimpun di hadapan kelab polis di Bangkok, semalam.
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia dinasihat menimbangkan untuk menangguhkan lawatan tidak perlu ke Thailand susulan penguatkuasaan undang-undang tentera oleh Tentera Diraja Thailand.
 
Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia yang kini berada di Thailand perlu berwaspada dan memantau perkembangan menerusi media tempatan dan antarabangsa.
 
Menurutnya terdapat 596 rakyat Malaysia tinggal di Thailand yang telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
 
"Tiada laporan berhubung rakyat Malaysia yang terjejas dengan perkembangan terkini di Thailand," menurut kementerian itu.
 
Katanya Malaysia berharap semua pihak di Thailand terus berusaha untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap kemelut yang dihadapi di negara itu.
 
Malaysia akan terus memantau perkembangan politik di Thailand, menurut kenyataan itu.
 
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsulat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di talian +662 629 6800 (pada waktu bekerja) atau +687 028 4659 (selepas waktu bekerja).


- Bernama

Pasangan Giant Panda dijangka tiba hari ini

 

Putrajaya: Pasangan Giant Panda Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Giant Panda tiba pagi hari ini di Kompleks MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata, pasangan Giant Panda itu dibawa dari Chengdu, China melalui penerbangan khas, MASKargo dan dijangka tiba kira-kira jam 6 pagi.
“Pasangan panda itu kemudian akan dibawa ke Zoo Negara di Kuala Lumpur dan akan dikuarantin selama kira-kira sebulan di eksibitnya yang sudah dibina.

Foto

“Ketibaan pasangan Giant Panda pada Mei adalah sangat signifikan memandangkan kedua-dua negara bakal merayakan Sambutan Ulang tahun Ke-40 terjalinnya Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China,” katanya.

Ketibaan pasangan panda itu akan disambut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit.

Palanivel berkata, program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Giant Panda di antara Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) itu ditandatangani pada 2012.

Menurutnya, melalui program itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi Giant Panda di samping dapat membangun serta melatih kepakaran tempatan.


 
SUMBER : HARIAN METRO

‘Bom’ dalam pasu bunga

Ipoh: “Ketika saya bersama isteri dan dua anak tidur di tingkat atas rumah kami, saya dikejutkan bunyi letupan disusuli kaca berderai di tingkat bawah rumah apabila turun untuk memeriksa terkejut mendapati asap tebal serta bau hangit di pintu utama rumah,” kata jurutera sambilan yang rumahnya di Taman Silibin Ria, di sini, dikhianat dengan sejenis mercun yang diletakkan dalam pasu bunga sebelum diletupkan awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, jurutera berusia 39 tahun yang enggan namanya didedahkan berkata, ketika letupan berkenaan berlaku seorang pembantu rumahnya turut berada di sebuah bilik di bahagian dapur rumah, namun semua mereka yang berada dalam rumah tidak cedera.
Menurutnya, letupan kuat itu mengakibatkan cermin pintu utama rumah pecah dan kereta jenis Nissan Sylphy miliknya rosak pada bahagian depan termasuk cermin depan retak, selain siling, lampu serta kipas di garaj turut rosak dan pecah.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, letupan itu dipercayai berpunca dari bahan letupan yang diletakkan dalam satu pasu bunga sebelum diletupkan di depan pintu utama rumah mangsa.


Foto
BAHAGIAN hadapan rumah mengalami kerosakan akibat letupan.



SUMBER : HARIAN METRO

Pesawat MAS dipanah petir

 

Alor Setar: Lebih 50 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH1348 yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Langkawi, di sini, berdepan detik cemas apabila salah satu enjin pesawat berkenaan terkena panahan petir, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, penumpang dan anak kapal dikejutkan dengan satu dentuman kuat sebelum disusuli pancaran cahaya seperti api di bahagian enjin sebelah kiri pesawat terbabit.


Seorang penumpang yang enggan dikenali berkata, pesawat itu berlepas dari KLIA pada jam 11.05 pagi sebelum berlaku gegaran kuat selepas 15 hingga 20 minit penerbangan dipercayai akibat cuaca buruk.
“Ketika itu, semua penumpang panik sehingga ada antara mereka menjerit dan menangis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Menurutnya, sebaik pesawat mendarat, dia terkejut mendapati kesan berlubang sebesar bola golf pada satu enjin berkenaan.


Sementara itu, pihak MAS dalam kenyataan medianya mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan tiada kemalangan mahupun kerosakan dilaporkan berlaku.

“Pesawat dihantar untuk pemeriksaan sebelum dibenarkan meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur,” katanya.




SUMBER : HARIAN METRO 



Tiada bon diterbit bagi MAS
kwsp
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa ia tidak pernah menerbitkan atau melanggan bon untuk membiayai Malaysia Airlines (MAS) seperti yang dilaporkan oleh media.

"Akta KWSP 1991 tidak mebenarkan KWSP menerbitkan bon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KWSP juga berkata, bentuk pembiayaan terakhir yang disediakannya bagi syarikat penerbangan nasional itu adalah pada tahun 1994, yang dibayar sepenuhnya pada 2004.

Satu laporan minggu lepas menyebut KWSP menyuntik wang ke dalam MAS kerana syarikat penerbangan itu menghadapi masalah kewangan disebabkan oleh kehilangan Pesawat MH370. - Bernama

Tiada perbincangan tarif elektrik baharu
Datuk Seri Mahdzir Khalid  
Datuk Seri Mahdzir Khalid
 
KUALA LUMPUR - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas, berhubung justifikasi kerajaan membenarkan kenaikan tarif elektrik, tidak bermaksud akan ada kenaikan baru, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Timbalan Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata, kenyataan Najib sewaktu berucap pada majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB bersama Perdana Menteri, merujuk kepada kenaikan bermula Januari tahun ini.
  
"Sewaktu berucap, Perdana Menteri merujuk pada (kenaikan pada) 1 Januari 2014, iaitu sesuatu yang telah pun berlaku. Dan beliau (Najib) dalam ucapan itu, turut menjelaskan kenapa tarif itu terpaksa dinaikkan.
  
"Buat masa kini, tiada perbincangan mengenai perancangan untuk menaikkan lagi tarif pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengagihan Elektrik Asia Tenggara di sini, hari ini.
  
Mahdzir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata, kerajaan perlu menimbangkan perkara yang kadang kala amat sukar dan ia termasuk menaikkan tarif elektrik.

Kenyataan Najib itu telah disalah anggap beberapa pihak kononnya kerajaan akan menaikkan lagi tarif elektrik dalam masa terdekat.
  
Mengulas mengenai salah faham pihak tertentu bahawa justifikasi kenaikan itu tidak sepatutnya berlaku kerana TNB tahun lepas telah mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.91 bilion, Mahdzir berkata, angka keuntungan itu tidak menggambarkan kos operasi sebenar syarikat utiliti itu.
  
"Satu tahun (boleh) dapat keuntungan sedemikian, tapi perbelanjaan, peruntukan yang dikeluarkan oleh TNB untuk setiap tahun sebenarnya lebih kurang RM5 bilion.
  
"Peruntukan yang TNB keluarkan balik adalah untuk tiga bahagian iaitu penjanaan tenaga, transmisi tenaga dan pengagihan tenaga...dan syarikat membuat satu belanjawan untuk ketiga-tiga bahagian ini," katanya lagi.
  
Mengulas mengenai forum itu, Mahdzir berkata, ia bertujuan untuk bagi mencari formula yang sesuai dalam memastikan bekalan elektrik di Malaysia, dan negara-negara Asean secara umumnya berjalan dengan gangguan yang minimum.   

Mahdzir berkata forum yang bertemakan "Towards Business Excellence and Sustainable Future" anjuran Cired Malaysia itu, merupakan platform terbaik bagi negara-negara Asean berkongsi pandangan, idea dan kepakaran secara holistik dalam bidang kejuruteraan elektrik.
  
"Sebab asas kepada apa jua industri, perniagaan, salah satunya ialah bekalan tenaga elektrik yang berterusan.
  
"Kalau mahu FDI (pelaburan langsung asing) datang, antara perkara yang akan menjadi keutamaan mereka adalah bekalan elektrik yang baik, air dan sistem telekomunikasi," katanya lagi. - Bernama

PAC beri peringatan tangani isu keselamatan


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi peringatan kepada pengendali KLIA2, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) agar mengambil tindakan segera bagi menangani isu keselamatan landasan kapal terbang yang dikatakan masih berlaku termasuk aduan laluan teksi dan parkir pesawat mendap ketika baru tiga minggu beroperasi.
Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihak pengurusan MAHB ketika dipanggil pada mesyuarat PAC sebelum ini mengakui menyedari wujud masalah itu dan memberi jaminan akan menyelesaikannya.
 

"Kawasan dalaman bangunan tidak menjadi isu, isunya membabitkan kawasan luar seperti landasan yang juga kawasan paling penting kerana babitkan keselamatan penumpang dan pesawat.


"Bila mereka datang pada kita (PAC) untuk beri penjelasan, mereka akui sedar tentang masalah itu dan akan perbetulkan. Jadi, sekarang kita tengoklah mereka (selesaikan), biar masa yang menentukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC Penggal Kedua 2014 di Parlimen, hari ini.

‘Kau jerit aku bunuh...’



Klang: “Kau jerit aku bunuh!” Itu amaran seorang daripada empat penjenayah yang menyamun sebuah keluarga di Kampung Bukit Kerayong, Meru, di sini, awal pagi semalam.
Empat penjenayah dipercayai lelaki tempatan itu memasuki rumah seorang peniaga kira-kira jam 3.30 pagi melalui tingkap bahagian dapur yang sudah dipotong menggunakan pemotong besi.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 39 tahun terpaksa menerima 18 jahitan apabila tangan kanannya terkena parang panjang dihayun suspek ketika cuba menghalang mereka daripada memasuki biliknya.

Mangsa juga terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM7,000 apabila pelbagai barangan peribadi seperti cincin, gelang dan rantai emas selain beberapa telefon bimbit dilarikan penjenayah.

Foto
MANGSA sekeluarga melakon semula cara mereka diikat penjenayah di dalam sebuah bilik.

Menurutnya, dia hanya menyedari terdapat ‘tetamu’ masuk ke rumahnya apabila mendengar bunyi bising dari luar biliknya.


“Apabila beberapa cubaan lelaki itu untuk memecah pintu tidak berjaya, mereka nekad menggunakan tong gas yang diambil dari dapur untuk menghentak pintu biliknya.



SUMBER : HARIAN METRO

Mahasiswi Malaysia diculik, rogol

Jakarta : Seorang mahasiswi Malaysia di Universiti Padjadjaran di Bandung dipercayai diculik dan diperkosa sebelum ditinggalkan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah tempat letak kereta kira-kira 40 kilometer dari tempat dia diculik, Sabtu lalu.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Hamzah Zainudin ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mahasiswi itu kini dirawat Hospital Hasan Sadikin di Bandung.


Beliau berkata, mahasiswi itu mengaku dia dirogol oleh tiga lelaki dalam kereta.


Foto
FOTO laman sesawang Universiti Padjadjaran

"Kami sudah meminta polis di Jakarta untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian ini," katanya.





SUMBER: HARIAN METRO

Monday, May 5, 2014

Dua maut bertembung



Kuala Terengganu: Seorang lelaki 44 tahun dan seorang wanita 35 tahun maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Tapak Pelupusan Sampah Kampung Sungai Ikan, di sini, 10.45 pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori tanah dari arah Setiu menuju ke Kuala Terengganu hilang kawalan sebaik memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum bertembung sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan.


Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori tanah, Mohd Ghani Embong, 44, dan pemandu kereta Perodua Myvi Rohaiza Yusof, 35, meninggal dunia di tempat kejadian.

Foto

Seorang lagi pemandu kereta Perodua Myvi yang parah di beberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk rawatan lanjut manakala pemandu serta tiga penumpang van terbabit selamat.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER : HARIAN METRO

Perlebaran PLUS jangka siap hujung tahun


Petaling Jaya: Projek pelebaran lorong keempat di lebuh raya kendalian Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata, projek dianggarkan bernilai RM1.4 bilion itu bermula sejak Julai 2012 membabitkan empat laluan utama.

"Ketika ini, kerja fasa kedua membabitkan penjajaran dan penandaan semula lorong sedia ada, penutupan lorong kecemasan seterusnya kerja pembinaan asas di laluan terbabit sedang dijalankan, " katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.


Menurutnya, dengan penambahan lorong keempat berkenaan dapat meningkatkan lagi 33 peratus kapasiti pengguna iaitu 220,000 jumlah kenderaan yang melalui lebuhraya itu setiap hari.


 SUMBER : Harian Metro

Template by:

Free Blog Templates