Tiada perbincangan tarif elektrik baharu
Datuk Seri Mahdzir Khalid
KUALA LUMPUR - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
minggu lepas, berhubung justifikasi kerajaan membenarkan kenaikan tarif
elektrik, tidak bermaksud akan ada kenaikan baru, kata Datuk Seri
Mahdzir Khalid.
Timbalan Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata,
kenyataan Najib sewaktu berucap pada majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB
bersama Perdana Menteri, merujuk kepada kenaikan bermula Januari tahun
ini.
"Sewaktu berucap, Perdana Menteri merujuk pada (kenaikan pada) 1
Januari 2014, iaitu sesuatu yang telah pun berlaku. Dan beliau (Najib)
dalam ucapan itu, turut menjelaskan kenapa tarif itu terpaksa dinaikkan.
"Buat masa kini, tiada perbincangan mengenai perancangan untuk
menaikkan lagi tarif pada masa akan datang," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Persidangan Pengagihan Elektrik Asia Tenggara di
sini, hari ini.
Mahdzir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan
sebuah portal berita yang melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata,
kerajaan perlu menimbangkan perkara yang kadang kala amat sukar dan ia
termasuk menaikkan tarif elektrik.
Kenyataan Najib itu telah disalah anggap beberapa pihak kononnya
kerajaan akan menaikkan lagi tarif elektrik dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai salah faham pihak tertentu bahawa justifikasi
kenaikan itu tidak sepatutnya berlaku kerana TNB tahun lepas telah
mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.91 bilion, Mahdzir berkata, angka
keuntungan itu tidak menggambarkan kos operasi sebenar syarikat utiliti
itu.
"Satu tahun (boleh) dapat keuntungan sedemikian, tapi perbelanjaan,
peruntukan yang dikeluarkan oleh TNB untuk setiap tahun sebenarnya lebih
kurang RM5 bilion.
"Peruntukan yang TNB keluarkan balik adalah untuk tiga bahagian iaitu
penjanaan tenaga, transmisi tenaga dan pengagihan tenaga...dan syarikat
membuat satu belanjawan untuk ketiga-tiga bahagian ini," katanya lagi.
Mengulas mengenai forum itu, Mahdzir berkata, ia bertujuan untuk bagi
mencari formula yang sesuai dalam memastikan bekalan elektrik di
Malaysia, dan negara-negara Asean secara umumnya berjalan dengan
gangguan yang minimum.
Mahdzir berkata forum yang bertemakan "Towards Business Excellence and
Sustainable Future" anjuran Cired Malaysia itu, merupakan platform
terbaik bagi negara-negara Asean berkongsi pandangan, idea dan kepakaran
secara holistik dalam bidang kejuruteraan elektrik.
"Sebab asas kepada apa jua industri, perniagaan, salah satunya ialah bekalan tenaga elektrik yang berterusan.
"Kalau mahu FDI (pelaburan langsung asing) datang, antara perkara yang
akan menjadi keutamaan mereka adalah bekalan elektrik yang baik, air dan
sistem telekomunikasi," katanya lagi. - Bernama